Friday, July 29, 2011

Anak Angkat Tidak Layak Mendapat Harta Pusaka

Dengan surat wasiat berhak mendapat 1/3 harta pusaka



Kebanyakan orang menyangka anak angkat boleh mewarisi harta pusaka ibu-bapa angkatnya apabila mereka meninggal dunia walaupun nama telah dibinkan atau dibintikan kepada bapa angkatnya.

Tetapi pendapat itu tidak benar. Anak angkat tidak layak mendapat satu sen pun harta pusaka ibu-bapa angkat kerana beliau bukan waris disebabkan tidak ada pertalian darah dengan ibu-bapa angkatnya walaupun ibu sesusu. Dalam Islam, waris sahaja yang berhak mendapat harta pusaka.

Islam itu ugama yang adil. Sungguhpun anak angkat bukan waris, beliau layak mendapat harta pusaka sekiranya ada wasiat daripada kedua ibu-bapa angkatnya. Mengikut Islam, anak angkat berhak mendapat tidak lebih daripada 1/3 harta pusaka kedua ibu-bapa angkatnya itu.

Hak anak angkat terhadap harta peninggalan ibu-bapa angkat ada asasnya. 

Anak angkat adalah anak kesayangan ibu-bapa angkat sama seperti juga anak kandung. Anak angkat biasanya dipelihara kerana pasangan suami isteri itu tidak mempunyai anak kandung. Jika tiada anak kandung, anak angkatlah yang membantu dan berjasa kepada kedua ibu-bapa angkatnya. Sakit pening ibu-bapa, anak angkatlah membantunya.

Ibu-bapa angkat yang bijak akan membuat perancangan pembahagian harta semasa hidup iaitu dengan membahagikan harta kepada anak angkatnya itu. Pemberian ini dinamakan hibah. Hibah ini akan menjamin anak angkat mendapat harta yang dihajatkan oleh ibu-bapa angkatnya terutama apabila berlaku perebutan harta di kalangan waris apabila ibu-bapa angkat meninggal dunia.


Jadi sungguh malang nasib si anak angkat apabila semasa ibu-bapa nya hidup tidak memberikan harta kepadanya atau tidak meninggalkan wasiat selepas ibu-bapa angkatnya meninggal dunia. Maka terpulanglah kepada budi baik dan belas kasihan waris untuk membahagikan sedikit harta ibu-bapa angkatnya itu.


Oleh itu pembahagian harta kepada anak angkat semasa kedua ibu-bapa masih hidup adalah jalan terbaik sekali. Oleh kerana ajal di tangan Tuhan, maka wasiat adalah perancangan pembahagian harta yang terbaik khusus untuk anak angkat.


Disediakan Oleh:


Abd Rahaman Rasid
Perancang Harta Islam
As-Salihin Trustee Bhd
Email: abdrahaman@gmail.com
Telefon: 013 366 1242


0 comments: