Ahad, Jun 06, 2010

Lima Sebab Mengapa Anda Memerlukan Wasiat

Lima Sebab Mengapa Anda Memerlukan Wasiat

1. Siapa Yang Akan Menyelesaikan Hutang Dunia dan Akhirat?

Sekiranya anda tahu bila anda akan meninggal, anda tidak memerlukan wasiat.

Jika tidak tahu, wasiat diperlukan oleh waris-waris bagi menyelesaikan hutang-hutang anda. Adalah tidak logik waris-waris anda menerima harta-harta anda, sedangkan anda masih berhutang. Berikut ialah antara jenis-jenis hutang:

>> Hutang-piutang anda dengan saudara-mara, kawan dan bank-bank
>> Hutang-hutang akhirat iaitu puasa, haji, zakat dan nazar yang belum ditunaikan.

2. Anda Mahu Membahagikan Harta Kepada Anak Angkat

Sekiranya anda ada memelihara anak angkat, dan anda bercadang memberikan harta kepada anak angkat, maka segerakan pemberian sebelum anda meninggal.

Jika tidak mengetahui bila anda akan meninggal, maka anda perlu menulis wasiat. Ini kerana mengikut hukum Islam, anak angkat bukanlah darah daging anda, jadi anak angkat tidak berhak menerima harta pusaka. Dengan wasiat, anak angkat berpeluang memperolehi harta anda selepas anda meninggal.

3. Isteri Anda Berhak Mendapat Bahagian Yang Wajar Apabila Suami Meninggal

Isteri telah hidup bersama dengan anda sepanjang hayat dan telah membangunkan keluarga sehingga berjaya di dunia dan di akhirat.

Tetapi apabila suami meninggal, dan mengikut faraid, isteri anda hanya berhak mendapat satu perlapan daripada harta anda. Isteri merasakan bahawa ia patut mendapat sekurang-kurangnya setengah daripada harta, terutama rumah kediaman yang telah membangunkan keluarga.

Bagi si-isteri mendapat harta lebih daripada satu perlapan, wasiat perlu ditulis oleh suami. Isteri harus bijak mempengaruhi suami supaya menulis wasiat bagi menjaga kepentingan hak isteri selepas suami meninggal dunia.

4. Anak-Anak Berhak Mendapat Bahagian Yang Adil

Sebagai ibu-bapa, kita berhak memberi keadilan kepada semua anak samada ia lelaki atau perempuan. Kadang-kadang, atas sebab-sebab tertentu, ibu-bapa hendak membahagikan harta kepada anak-anak mengikut kehendak mereka. Ia boleh dilakukan semasa ibu-bapa masih hidup lagi.

Jika tidak dibahagikan semasa hidup, wasiat diperlukan bagi menjelaskan bahagian-bahagian harta kepada anak-anak mengikut kehendak ibu-bapa.

Sekiranya ibu-bapa menulis surat dengan baik dan secara emosi (contoh: meminta anak-anak menghormati keputusan ibu-bapa dan ini soal dunia), biasanya kandungan wasiat akan dipatuhi. Jika ada anak-anak yang menentang, maka wasiat tidak akan berkesan dan terpaksa menggunakan hukuk faraid bagi membahagikan harta.

5. Anda Hendak Membahagikan Harta Kepada Bukan Waris

Mengikut hukum Islam, hanya waris-waris sahaja yang berhak mendapat harta si-mati. Ini bermakna sekiranya anda tidak meninggalkan wasiat, waris-waris anda tidak boleh membahagikan harta kepada bukan waris dan mewakafkan harta kepada masjid dan sebagainya.

Sekiranya anda berhajat memberikan harta kepada bukan waris, memberi sedekah dan mewakafkan harta kepada masjid, maka selesaikan ia semasa anda hidup lagi. Jika tidak, wasiat diperlukan dengan menyatakan hajat pembahagian harta anda itu.

Mengikut hukum faraid, anda berhak membahagikan satu-pertiga harta kepada bukan waris termasuklah sedekah dan wakaf. Sebenarnya, anda boleh membahagi lebih daripada satu-pertiga dengan syarat ia tidak ditentang oleh waris-waris.


Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Selasa, Januari 26, 2010

Tuntutan Berwasiat

surat_wasiat

Jumaat - 24 OGOS 2007
Sumber:Jabatan Ugama Islam Selangor (JAIS)

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada allah s.w.t, dengan melaksanakan segala perintah dan suruhannya serta meninggalkan segala maksiat dan larangannya. Mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan orang-orang yang beroleh limpahan dan rahmat allah s.w.t dan berjaya dalam kehidupan didunia dan juga diakhirat.


Sidang jumaat yang dikasihi sekalian,

Islam amat mengambil berat tentang persoalan harta dalam kehidupan manusia. Harta dianggap sebagai suatu amanah yang mesti diuruskan dengan baik dan sempurna berdasarkan peraturan dan hukum Allah s.w.t.

Perlu diingat, bahawa ada seorang pun dari kalangan kita apabila meninggalkan alam dunia yang fana ini menuju ke alam barzak, akan membawa bersama seluruh harta yang mereka himpun semasa hidup didunia. Segala harta yang menjadi milik dan kebanggaan dirinya, akhirnya ditinggalkan untuk dibahagi-bahagikan kepada ahli warisnya.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan di akhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidupnya lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan, sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.

Sesungguhnya Islam telah menyusun, mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. Antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Wasiat menurut bahasa bermaksud sambung atau pesanan. Dari segi syarak pula bermaksud ikrar seseorang yang dibuat semasa hidupnya keatas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa yang dibenarkan oleh syarak dan terlaksana selepas kematiannya, dengan niat mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Membuat berwasiat pada asalnya adalah wajib berdasarkan kepada firman allah s.w.t:

"Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, hendaklah ia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik menurut peraturan agama, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa".
(Al-Baqarah ayat 180)

Menurut kebanyakan ulamak, hukum wajib berwasiat dalam ayat tersebut telah dimansuhkan apabila turunnya ayat yang menjelaskan tentang pembahagian harta pusaka kepada warisnya. Melalui hadis Rasulullah s.a.w baginda berdasarkan:

"Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak,maka tiada wasiat untuk warisnya".
(Riwayat At-Tarmizi)

Namun baginda menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabdanya:

"Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya disisinya".
(Muttafaqun Alaihi)


Sidang jumaat yang berbahagia,

Wasiat hanya boleh dilaksanakan kepada selain daripada mereka yang layak mendapatkan bahagian harta mengikut hukum faraid. Wasiat dan hutang si mati hendaklah dijelaskan dahulu sebelum harta si mati dibahagikan mengikut faraid. Itu pun jika warisnya mengetahui perkara tersebut daripada si mati sebelum ia meninggal dunia. Ini dijelaskan didalam firman allah s.w.t:

"Dan bagi kamu seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak,tetapi jika mereka ada mempunyai anak maka kamu beroleh seperempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan sesudah dibayarkan hutangnya".
(An-Nisa' ayat 12)

Menurut ulamak feqah, wasiat hanya boleh dilaksanakan tidak lebih 1/3 daripada harta si mati. Manakala hutang pula hendaklah dilunaskan sepenuhnya oleh warisnya jika harta peninggalan si mati tidak mencukupi.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya amalan berwasiat terhadap harta mempunyai banyak faedah dan kebaikan jika dilakukan oleh umat Islam semasa hidupnya. Antara faedah tersebut ialah:-

Pertama - Dapat menjamin pembayaran hutang, pelaksanaan tanggungjawab dan amanah.

Perlu diingat, bahawa sebahagian manusia apabila tiba ajal kematiannya, ia membawa bersama hutang-hutangnya bertemu Allah s.w.t. Hutang-hutang tersebut antaranya ialah kewajipan zakat, kewajipan fidiah kerana meninggalkan berpuasa, kewajipan haji, kaffarah puasa dan hutang sesama manusia.

Persoalannya sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, siapakah yang akan memastikan hutang-hutang tersebut dilunaskan apabila kita mati kelak sekiranya kita tidak pernah memberitahu atau berwasiat kepada orang lain untuk melaksanakannya?. Ingatlah, rasulullah s.a.w pernah bersabda:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dilunaskan (dibayar)".

Kedua- Mengelakkan berlakunya perbuatan harta dan pergaduhan dikalangan ahli warisnya.

Orang yang berharta, kadangkala meninggalkan harta dalam bentuk aset yang pelbagai seperti tanah, bangunan, kenderaan, barang-barang, wang tunai, wang simpanan, saham, pelaburan dan sebagainya. Melalui kaedah wasiat aset yang banyak ini boleh diwasiatkan untuk kebajikan dan yang selebihnya pula akan diurus mengikut hukum faraid. Ini dapat menjamin harta yang ditinggalkan akan berkekalan pahalanya mengalir kepadanya apabila ia mati kelak. Hal ini dikuatkan lagi oleh rasulullah s.a.w dengan sabda:

"Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya".
(Riwayat Al-Bahari Wamuslim)


Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita menginsafi bersama, betapa pentingnya untuk kita menguruskan harta kita semasa hidup didunia ini. Janganlah kita menyangka, apabila kita mati kelak, pandai-pandailah ahli waris kita menguruskan pembahagian harta yang ditinggalkan. Jangan kita sangka, apabila kita mati kelak, semua tanggungjawab kita kepada harta yang ditinggalkan akan terlepas dari kewajipan kita, sedangkan hakikat sebenarnya, terlalu banyak kaitan dan kewajipan yang masih tertanggung di atas bahu kita, sedangkan hakikatnya kita telah berada di satu alam lain yang sangat berharap kepada bantuan khususnya melalui pahala wasiat dan sedekah harta yang pernah kita miliki.


Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Demi menyahut seruan berwasiat ini, Majlis Agama Islam Selangor telah melancarkan perkhidmatan "Pengurusan wasiat orang Islam" bagi membantu dan memudahkan umat Islam dinegeri Selangor untuk berwasiat terhadap hartanya.

Oleh itu, marilah sama-sama kita manfaatkan perkhidmatan ini, supaya kita bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan selesai segala hutang-piutang kita dengannya dan dengan manusia. Kita bertemu Allah dalam keadaan ahli keluarga kita tenang dan sejahtera menerima harta pusaka yang kita tinggalkan tanpa berlaku penipuan, penindasan dan perbuatan.

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan disisi allah jualah pahala yang besar".
(At Taghaabun ayat 15)

Ya Allah, engkaulah Tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanafaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besra,kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sumber: http://www.jais.gov.my/
Ingin Menjadi Agen Perancang Harta Islam?

Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Isnin, Januari 25, 2010

Bagaimana Menyediakan Surat Wasiat Yang Baik?




Bagaimana Menyediakan Surat Wasiat Yang Baik?
Mansid, CFP

Surat wasiat yang baik wajar mengandungi perkara-perkara berikut:

1. Pewasiat mengikrarkan dokumen wasiatnya itu kepada bakal pewaris.

2. Pewasiat menamakan wasinya (pentadbir harta) dengan jelas.

3. Pewasiat memberi kuasa yang jelas dan penuh kepada wasinya selepas kematian pewasiat.

4. Pewasiat memberi kuasa kepada wasi supaya menjelaskan semua hutangnya termasuk tunggakan zakat dan cukai sebelum harta diagihkan kepada pewaris.

5. Pewasiat menyenaraikan dengan jelas dan spesifik mengenai semua harta yang diwasiatkan (contoh: alamat banglo, nombor akaun bank, nombor akaun ASB dan akaun insurans hayat)

6. Pewasiat memberi kuasa kepada wasi memberikan semua aset seperti yang dinyatakan dalam wasiat kepada benefisiari-benefisiari (penerima wasiat)

7. Pewasiat menyatakan dengan jelas nama-nama pewaris atau benefisiari.

8. Pewasiat menentukan dengan jelas kadar pembahagian harta kepada pewaris-pewaris atau benefisiari (contoh: anak kandung 30%, anak angkat 30%, adik tiri 20% dan sedekah masjid Kg Sawah 10%).

9. Pewasiat menyatakan dengan jelas kadar pembahagian harta sekiranya berlaku kematian ke atas pewaris-pewarisnya.

10. Pewasiat hendaklah mengistiharkan (jika ada) dalam wasiatnya sekiranya telah wujud perjanjian mengenai "harta sepencarian". Ini bagi mempastikan pengagihan harta seperti dalam wasiat diagihkan setelah mengambil kira nilai harta sepencarian.

11. Pewasiat hendaklah mengistiharkan (jika ada) dalam wasiatnya sekiranya telah ada perjanjian pemberian hadiah (hibah). Ini bagi mempastikan pengagihan harta wasiat diagihkan setelah mengambil kira pembahagian hadiah (hibah).

12. Pewasiat hendaklah menyatakan dengan jelas cara pembahagian akan saki baki harta-harta yang tidak dinyatakan dalam surat wasiat kepada pewaris-pewarisnya.

13. Pewasiat wajar memberi nasihat kepada waris-waris supaya proses pembahagian harta selepas kematiannya dapat berjalan dengan lancar bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan di kalangan pewaris. Sekiranya ada pertelingkahan, maka pewasiat mengingatkan pewaris akan pemakaian hukum Faraid sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan kemelut perebutan harta.

14. Pewasiat hendaklah menandatangani surat wasiat dengan sekurang-kurangnya dua orang saksi.

Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Ahad, Januari 24, 2010

Penyelesaian Lengkap Bagi Perancangan Harta Pusaka

perancangan_harta

Penyelesaian Lengkap Bagi Perancangan Harta Pusaka
Oleh: Mansid, CFP


Tujuan

Artikel ini menerangkan secara menyeluruh mengenai topik penyelesaian lengkap bagi perancangan harta pusaka di kalangan orang-orang Melayu khasnya dan orang Islam amnya.

Kematian Adalah Satu Kepastian

Kematian adalah satu kepastian. Ia tidak dapat dinafikan. Oleh kerana kematian adalah perkara yang pasti, adakah anda bersetuju bahawa perancangan pengagihan harta adalah satu kewajipan? Atau anda menyerahkan kepada keadaan keliling yang menentukan kaedah pembahagian harta selepas anda mati. Kalau begitu, semasa hidup mengapa anda bersusah payah mencari dan mengumpul harta, sedangkan selepas mati keadaan kelililing yang menentukan?

Konsep Perancangan Harta Pusaka Secara Islam

Dari segi konsep, perancangan harta pusaka secara Islam adalah kaedah pengurusan harta pusaka secara teratur dan sah menurut Undang-Undang dan Hukum Syarak.

Sebelum membincangkan isu perancangan harta pusaka, kita harus memahami konsep kitaran pengurusan harta. Pengurusan harta bermula dengan pengujudan harta (wealth creation), diikuti dengan pengumpulan harta (wealth accumulation) iaitu harta akan bertambah dari tahun ke tahun. Harta yang dikumpul akan dijaga atau dipanggil penjagaan harta (wealth protection). Contoh-contoh penjagaan harta adalah membeli insurans kebakaran dan insurans hajat. Bagi ladang-ladang, semak-semak dibersihkan bagi mengelakkan kebakaran.

Aspek terakhir dalam pengurusan harta ialah pembahagian harta (wealth distributio). Sistem pembahagian harta di sini bermaksud pembahagian harta kepada orang-orang yang disayangi, menyelesaikan zakat, menyelesaikan tuntutan harta sepencarian oleh pasangan, menwakafkan sebahagian daripada harta dan memberi harta kepada bukan waris, menyelesaikan hutang-hutang si-mati seperti menunaikan haji dan hutang peribadi, menyelesaikan kos pengemubumian dan akhirnya membahagikan baki harta yang tinggal mengikut sistem faraid.

Perancangan pembahagian harta semasa hidup adalah aspek yang tidak diambil berat oleh kebanyakan orang Melayu.

Harta Akan Dibahagikan Secara Automatik Selepas Kematian

Kebanyakan orang jarang memikirkan soal mati, jadi secara tak langsung mereka tak pernah memikirkan soal pembahagian harta selepas mereka mati. Kebanyakan orang menyangkakan hartanya akan diagihkan secara terus kepada yang tersayang apabila mereka tiada lagi di dunia.

MALANGNYA SANGKAAN DI ATAS TIDAK BENAR....

Sebenarnya bila seseorang meninggal dunia, semua asetnya akan dibekukan secara automatis. Oleh itu, bagi mencairkan harta si-mati, maka waris-waris si-mati kena mendapatkan Perintah Mahkamah bagi jumlah aset yang melebihi RM2 juta atau Harta Pusaka Kecil bagi aset yang kurang daripada RM2 juta.

Bagi bidang kuasa Perintah Mahkamah di atas (harta melebihi RM2 juta), waris-waris hendaklah mendapatkan Surat Wakil Kuasa bagi aset yang tidak diwasiatkan atau Probet bagi aset yang mempunyai wasiat.

Bagi harta yang nilai kurang daripada RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, waris-waris kena berurus dengan Amanah Raya Berhad atau Pentadbir Tanah Daerah bagi mencairkan dan mengagihkan harta si-mati.

Mengapa Perlu Perancangan Harta?

>> Dengan membaca akhbar sahaja, kita dapati banyak masalah kesan ketiadaan perancangan harta Islam. Antaranya ialah:

>> Tanah-tanah dan properti bernilai berbilion ringgit yang tidak atau masih belum diagihkan kepada pewaris,

>> Wang-wang tidak dituntut berbilion ringgit masih dipegang oleh Pendaftar Wang Tidak Dituntut,

>> Wang puluhan juta ringgit milik si-mati masih tersadai di KWSP


Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad<

Ahad, Januari 17, 2010

Harta Pusaka Syed Kechik RM400 juta Belum Diagihkan

Kisah Harta Pusaka Syed Kechik RM400 juta Belum Diagihkan

"Dua anak Syed Kechik halang abang" begitulah satu tajuk dalam Akhbar Berita Harian, 16 Januari 2010.

Mengikut akhbar di atas sebanyak RM400 juta harta Allahyarham Syed Kechik yang masih belum diagihkan kepada pewaris. Ini kerana ada perbalahan di antara anak-anak daripada dua isteri Allahyarham yang menggunakan saluran mahkamah dalam merebut jamlah harta yang banyak itu.

Anak-anak Syed Kechik iaitu Sharifah Zarah, Sharifah Munira dan Syed Gamal adalah mereka yang berebut harta bapa mereka seperti yang diberitakan dalam surat kabar Berita Harian.

Syed Gamal adalah anak sulung Syed Kechik dengan Zainab@ Eshah Abdullah, manakala Sharifah Zarah dan Sharifah Munira adalah anak Syed Kechik dengan Puan Sri Sofiah selepas Syed Kechik menceraikan Zainab @ Eshah Abdullah.

Mengikut akhbar diatas, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira selaku pengarah-pengarah syarikat Syed Kechik Holdings Sdn Bhd (SKHSB)telah berjaya mendapat perintah mahkamah bagi menghalang Syed Gamal daripada campur tangan dalam urusan dan pentadbiran SKHSB. Ini termasuk menghalang Syed Gamal daripada memasuki premis, mengakses rekod dan akaun syarikat.

Apa Pelajaran kepada Kita Semua?

(1) Harta RM400 juta terbeku

Syed Kechik sudah meninggal lama, harta RM400 juta telah terbeku secara automatik dan tidak dapat dimanafaatkan oleh warisnya. Ia satu fenomina yang merugikan kepada generasi Syed Kechik. Harta peninggalan Syed Kechik sudah tentu dapat meningkatkan taraf hidup generasi Syed Kechik kalau telah diwasiatkan.


(2) Aspek Pengagihan Harta Jangan Dilupakan

Syed Kechik sebagai seorang pintar, jutawan dan tokoh yang cukup popular tidak mementingkan aspek pengagihan harta (asset distribution), iaitu komponen penting selepas aspek "pembentukan harta" (asset creation), "pengumpulan harta" (asset accumulation) dan "penjagaan harta" (asset protection). Dalam pengurusan harta, aspek pengagihan harta adalah kritikal kerana ia menjawap persoalan asas pengurusan harta iaitu "Mengapa kita mengumpul harta".

3. Menulis Wasiat dan Deklarasi Harta Sepencarian adalah jawapannya

Masalah perebutan harta di kalangan orang Melayu khususnya dan Islam amnya dapat diselesaikan apabila semasa hidup pemilik harta menulis "Surat Wasiat" dan membuat "Deklarasi Harta Sepencarian".

Konsep hak-hak isteri di bawah pemilikan harta sepencarian seharusnya diperjuangkan oleh isteri-isteri dan bukannya oleh si-suami. Isteri selalu melupakan hak mereka supaya mendesak suami menulis "Deklarasi Harta Sepencarian" semasa mereka hidup bahagia, dan bukannya menuntutnya selepas penceraian atau apa sebab sekali pun.

Sekiranya ada 'wasiat' dan 'deklarasi harta sepencarian', pembahagian harta selepas berlaku hal-hal yang tidak diingini tidak akan menjadi masalah.


Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Ahad, Januari 03, 2010

Penerangan Mengenai Harta Sepencarian




Penerangan Mengenai Harta Sepencarian
Oleh: Mansid

1. Isu dan Masalah

Isu tuntutan harta sepencarian biasa didengar apabila berlaku penceraian suami-isteri atau kematian pasangan. Dan kebiasaannya ia melibatkan tuntutan hak-hak isteri kepada bekas suami mereka. Tulisan dalam blog ini sekadar memberi pengetahuan dan kesedaran kepada semua pihak. Blog ini mungkin dapat mencelikkan mata kepada kita semua iaitu betapa pentingnya perancangan harta semasa kita sihat dan hidup.

2. Definisi Harta Sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi secara bersama-sama oleh suami isteri sepanjang perkahwinan yang sah di mana kedua-dua pihak memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perolehan atau pemilikan harta tersebut.

3. Konsep Harta Sepencarian

Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat secara umumnya selepas berlaku penceraian dan kematian.

Professor Ahmad Ibrahim menyebutkan dalam bukunya "Islamic Law in Malaysia" yang diterbitkan pada 1965 oleh Malaysian Sociological Research Institute, pada mukasurat 389 menyatakan bahawa harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama yang mana kerja yang dilakukan menyebabkan pemilikan bersama; semasa berlaku penceraian atau kematian isteri mempunyai hak terhadap bahagian selain daripada penyelesaian perkara yang lain yang diwajibkan di bawah Undang-Undang Islam.

Di Kelantan, di dalam kes Hajjah Saudah v Hanafi (1990) 8JH 66, Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan bahawa perintah tuntutan harta sepencarian boleh dibuat selepas kematian pasangan.


4. Kes Boto' binti Taha v Jaafar bin Muhamed

Dalam kes Boto' binti Taha v Jaafar bin Muhamed (1985) 2 MLJ 98, isteri membuat tuntutan harta sepencarian terhadap bahagian harta (alih dan tak alih) yang dibeli oleh suaminya semasa menjadi nelayan semasa mereka masih menjadi suami isteri. Dalam kes ini, apabila suami menceraikan isteri, Tun Salleh Abas C.J Malaya memutuskan harta alih (iaitu bot nelayan dalam kes ini) juga boleh diletakkan di bawah peruntukan harta sepencarian.

Apa yang dikira sebagai sumbangan boleh dikira sebagai harta sepencarian. Tun Salleh dalam kes Boto' binti Taha memutuskan bahawa walaupun isteri tidak memberikan sumbangan kewangan kepada suami untuk membeli harta-harta tersebut, tetapi isteri telah banyak kali menemani suaminya ketika pergi menangkap ikan di laut. Ini sudah cukup untuk dikira sebagai "sumbangan" dalam membeli harta tersebut apabila berlaku pertikaian.

Tun Salleh dalam keputusannya menyebut: "Sungguhpun isteri itu tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan suaminya, kehadiran isteri menyebabkan ketenangan fikiran suami yang membolehkannya mebnguruskan perniagaannya dengan tenang dan berkesan." Fakta perkahwinan dan apa-apa yang dilakukan dalam perkahwinan itu yang menjadikannya harta-harta itu harta sepencarian.


5. Kes Robert@Kamarulzaman v Ummi Klathum

Dalam kes Robert@Kamarulzaman v Ummi Klathum [1966] MLJ 163, suami ialah seorang askar British yang memeluk agama Islam telah berkahwin dengan wanita Melayu dan telah membeli harta semasa dalam ikatan perkahwinan dan menamakan harta tersebut di bawah nama isterinya. Apabila berlaku perceraian, suami telah menuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa harta itu memang harta sepencarian, walaupun pada masa itu plantif bukanlah seorang Melayu tetapi orang Inggeris yang telah Islam.


6. Pelaksanaan Harta Sepencarian Sebagai Doktrin dalam Urusan Harta

Doktrin harta sepencarian telah diberi pengiktirafan oleh semua Mahkamah Syariah di Malaysia. Yang penting ialah penyelesaian tuntutan harta sepencarian akan diselesaikan segera selepas menyempurnakan Wasiat dan sebelum dibuat pembahagian harta mengikut sistem faraid.

7. Perkhidmatan Harta Sepencarian Yang Disediakan Oleh as-Salihin

Sudah menjadi kebiasaan bagi benefisiari lain mempertikaikan harta sepencarian setelah kematian suami atau isteri. Untuk mengelakkan masalah ini dan lain-lain masalah yang tidak diingini berlaku, as-Salihin akan menyediakan dokumen Deklarasi Harta Sepencarian yang mampu untuk mengelakkan masalah perbalahan harta sepencarian di masa hadapan.

8. Kelebihan Membuat Deklarasi Harta Sepencarian

(i) Semua pihak khususnya suami isteri boleh berbincang, besetuju dan memutuskan hak serta pembahagian harta sepencarian semasa mereka hidup lagi,

(ii) Dokumen persetujuan harta sepencarian semasa hidup dapat melindungi hak suami isteri,

(iii) Semua pihak khususnya suami-isteri akan berpuas hati mengenai hak harta sepencarian semasa mereka masih hidup lagi.

(iv) Apabila suami- isteri telah membuat pembahagian harta sepencarian semasa hidup (melalui Deklarasi Harta Sepencarian), ia akan mempercepatkan proses pembahagian harta samada selepas penceraian (elakkan perkara ini...sekadar contoh saje) atau selepas kematian iaitu proses pembahagian harta mengikut wasiat atau faraid.

(v) Dengan adanya dokumen pembahagian harta sepencarian, ia dapat menjimatkan masa proses pembahagian harta berbanding tuntutan harta sepencarian selepas berlaku penceraian atau kematian. Ini kerana si penuntut hendaklah membuktikan melalui dokumen, resit dan hujah di depan Hakim bagi menuntut jumlah harta pencarian yang dikehendaki.

(vi) Pembahagian harta sepencarian semasa suami isteri masih hidup akan dapat mengelakkan perbalahan di kemudian hari oleh suami isteri yang telah bercerai tetapi juga ahli-ahli keluarga pihak pasangan terutama apabila salah seorang pasangan meninggal dunia.



Nota: Sebahagian besar daripada maklumat dan fakta dalam artikel ini dipetik daripada Manual Perancangan Harta Islam terbitan as-Salihin Trustee Bhd.

Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad

Jumaat, Januari 01, 2010

Soalan Lazim Mengenai Pengurusan Harta Pusaka Islam

Soalan Lazim Mengenai Pengurusan Harta Pusaka Islam

1. Saya difahamkan bahawa undang-undang pewarisan Islam iaitu Faraid telah menetapkan bahagian-bahagian yang patut di perolehi oleh waris-waris simati. Kenapa saya perlu membazirkan masa dan wang untuk menulis Wasiat

Pembahagian Faraid adalah untuk waris-waris, sedangkan Wasiat membenarkan pembahagian 1/3 daripada harta pusaka kepada bukan waris yang memerlukan.

Wasiat memberi peluang kepada orang Islam untuk terus mendapat pahala selepas mati kerana mewasiatkan hartanya untuk tujuan kebajikan atau agama Islam. Di samping itu Pewasiat boleh melantik Wasi untuk mentadbir harta pusaka dan penjaga harta anak dibawah umur.

2. Adakah Islam mengalakkan menulis Wasiat?

Islam menggalakkan menulis Wasiat. Diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar R.A “Adalah tidak dibenarkan mana-mana orang Islam yang mempunyai sesuatu diwasiatkan untuk tinggal dua malam tanpa memiliki Wasiat terakhir dan disimpan dengannya.”

3. Islam menggalakkan menulis Wasiat, adalah lebih mudah untuk saya meniru contoh yang telah sedia ada, contohnya di bawah Enakmen Wasiat Selangor 1999.

Contoh Wasiat yang disediakan adalah Wasiat yang biasa sahaja, sedangkan as-Salihin menyediakan Wasiat yang lengkap yang dibuat berdasarkan keperluan, keadaan dan lain-lain perkhidmatan yang diperlukan oleh benefisiari yang masih hidup bagi mengelakkan sebarang konflik dan ketidak tentuan berlaku selepas kematian anda.

4. Saya masih bujang dan tidak mempunyai waris yang rapat. Kenapa perlu saya menulis Wasiat?

Jika anda tidak menulis Wasiat dan anda tidak mempunyai waris yang boleh mewarisi, kesemua harta akan diberi kepada Baitul Mal. Anda boleh memberi harta anda kepada orang-orang tertentu melalui Wasiat sebanyak 1/3 daripada jumlah harta dan baki harta akan diserahkan kepada Baitul Mal. Kedua-dua pihak akan mendapat bahagian.

5. Tanggungan saya adalah lebih banyak daripada aset saya. Bolehkah saya menulis Wasiat?

Anda boleh menulis Wasiat. Akan tetapi tanggungan anda akan diselesaikan dahulu sebelum pembahagian ke atas baki aset boleh dibuat kepada benefisiari.

6. Saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan saya telah mengasingkan beberapa harta untuk kepentingan mereka? Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai penjaga bagi harta anak-anak saya?

Ya boleh, sekiranya as-Salihin dilantik sebagai Penjaga bagi harta anak-anak anda.

7. Bolehkah saya melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah bagi anak-anak saya?

Anda boleh melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah, tetapi bagi harta anak-anak anda dan bukannya penjaga bagi diri kanak-kanak tersebut. Penjaga bagi diri mestilah dilantik mengikut peruntukan undang-undang.

8. Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai Penjaga kepada anak-anak yang masih kecil?

as-Salihin tidak boleh menjadi hadinah. Hak hadinah ke atas anak-anak yang masih kecil diberi keutamaan kepada saudara-saudara perempuan terdekat.

9. Saya telah menganut agama Islam dan ibu-bapa masih beragama Buddha. Saya faham bahawa ibu-bapa saya mempunyai bahagian yang telah ditetapkan apabila saya meninggal dunia. Adakah begitu?

Hanya orang Islam boleh mewarisi daripada orang Islam. Oleh kerana ibubapa anda bukan Islam mereka tidak boleh mewarisi daripada anda.

10. Bolehkah saya berwasiat kepada ibubapa dan saudara yang bukan beragama Islam?

Ya

11. Bolehkah saya menerima pemberian melalui Wasiat daripada saudara atau kawan bukan Islam?

Boleh

12. Bolehkah saya mewarisi daripada saudara bukan Islam (jika tiada Wasiat)?

Tidak

13. Saya adalah seorang anak angkat. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa angkat saya?

Tidak

14. Bolehkah saya menerima Wasiat ibubapa angkat saya?
Boleh

15. Saya adalah anak luar nikah. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa sebenar saya (yang tidak berkahwin)?

Anda hanya boleh mewarisi daripada ibu sahaja.

16. Sebagai ibu-bapa yang bersekedudukan, bolehkan mereka mewarisi harta saya?

Hanya ibu sahaja(dan bukan bapa) boleh mewarisi harta anda.

17. Saya telah menceraikan isteri saya. Bolehkah bekas isteri saya menuntut hak terhadap harta saya apabila saya mati?

Bekas isteri anda tidak boleh menuntut harta pusaka anda kerana apabila telah bercerai, bekas isteri bukanlah dianggap sebagai waris yang layak lagi. Tetapi bagi isteri yang diceraikan, apabila suami telah menceraikan isteri dan suami mati ketika di dalam masa iddah, isteri masih dianggap sebagai waris yang layak dan boleh mewarisi harta anda.

18. Di dalam Islam, adakah saya bebas untuk mewasiatkan semua harta saya?

Menurut Undang-undang Islam, seorang Islam mempunyai kebebasan untuk mewasiatkan hanya 1/3 daripada keseluruhan hartanya.

19. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada ahli-ahli keluarga terdekat?

Menurut Mazhab Shafie, seorang Islam tidak boleh mewasiatkan hartanya kepada waris kecuali semua waris memberi persetujuan selepas kematian pewasiat. Di dalam kes anda, anda boleh mewasiatkan lebih daripada 1/3 kepada keluarga terdekat jika semua waris bersetuju.

Tetapi di bawah undang-undang Selangor, Seksyen 26(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, orang Islam dibolehkan berwasiat sebanyak satu pertiga daripada keseluruhan aset kepada waris-warisnya walaupun tanpa persetujuaan waris-waris yang lain.

20. Siapakah di antara saudara saya yang tidak boleh terkecuali daripada mewarisi harta saya?

Dengan syarat mereka adalah orang Islam, bapa anda (ke atas), suami/isteri anda dan anak-anak anda tidak terkecuali daripada mewarisi harta anda.

21. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada rakan-rakan saya?

Anda boleh berwasiat hanya 1/3 daripada semua harta anda kepada rakan anda. Jika anda mewasiatkan lebih daripada 1/3, Wasiat yang melebihi daripada 1/3 tidak sah kecuali mendapat persetujuan semua waris selepas kematian pewasiat.

22. Saya mempunyai sebidang Tanah Rizab Melayu dan ia melebihi 1/3 daripada semua harta saya. Bolehkah saya mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan saya, Ali Chong Abdullah, seorang mualaf?

Anda harus memahami bahawa dengan memeluk Islam rakan anda itu tetap berbangsa cina dan dia tidak boleh menjadi orang Melayu. Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu, adalah dinasihati agar anda tidak mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan anda yang berbangsa cina.

23. Apakah benda yang tidak boleh saya Wasiatkan?

Benda yang dianggap haram menurut Islam seperti alkohol, babi tidak boleh menjadi harta yang diwasiatkan. Pemberian kepada tempat-tempat peribadatan agama selain Islam tidak boleh melalui Wasiat. Tidak dibenarkan juga seseorang mewasiatkan senjata dan patung-patung sembahyang kepada orang bukan Islam.

24. Saya telah membuat Wasiat ketika saya bujang, jika saya tidak membuat Wasiat yang baru selepas berkahwin, masih sahkah Wasiat tersebut

Di dalam Islam, Wasiat tidak terbatal melalui perkahwinan atau perceraian. Wasiat yang anda buat sebelum berkahwin kekal sah kecuali saya membatalkannya dengan membuat Wasiat baru.

25. Saya telah menamakan isteri saya sebagai penama di dalam borang EPF. Bolehkah isteri saya mendapat kesemua wang daripada akaun EPF saya apabila saya meninggal kelak?

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, penama bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Wang Simpanan di bank dan Simpanan Kesatuan Kerjasama adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah. Penama tersebut tidak boleh mewarisi kesemua harta tersebut tetapi dia mestilah membahagikan harta tersebut mengikut Faraid.

26. Saya belum berkahwin ketika membeli polisi insurans dimana saya menamakan kakak saya sebagai benefisiari. Oleh kerana saya telah berkahwin adakah kakak saya boleh mewarisi polisi insurans saya apabila saya meninggal dunia?

Di dalam Islam, harta simati hanya boleh diwarisi selepas kematiannya dan dibahagikan mengikut Faraid. Kedudukan kakak anda hanyalah sebagai pemegang amanah (dan bukan sebagai benefisiari) dan beliau berkewajipan untuk membahagikan harta tersebut kepada waris-waris yang layak menurut Faraid (sila lihat soalan 25).

27. Adakah seorang individu tidak layak untuk dilantik sebagai wasi bagi Wasiat saya, kerana dia juga merupakan benefisiari di dalam Wasiat saya?

Tidak layak.

28. Jika saya boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi wasi Wasiat saya. Kenapa perlu saya melantik as-Salihin?

Adalah lebih baik melantik as-Salihin sebagai wasi. Jika anda fikirkan bahawa orang kesayangan anda mungkin tidak mampu berfungsi dan bertugas sebagai wasi, anda wajar melantik as-Salihin sebaga wasi utama atau wasi ganti.

Kelebihan melantik as-Salihin sebagai Wasi anda adalah seperti berikut:

(a) Warisan kekal dan berterusan

Sebagai sebuah syarikat, as-Salihin bersama kakitangan yang arif dalam bidang undang-undang akan sentiasa memastikan kesinambungan dalam proses pentadbiran hingga pembahagian harta yang terakhir

(b) Bertanggungjawab dan Adil

Tidak seperti pemegang amanah individu, as-Salihin adalah badan pengawal di bawah obligasi undang-undang untuk memastikan wang sentiasa dijaga. Selain itu, sebagai badan korporat, as-Salihin bebas dan adil kepada semua benefisiari berbanding Wasi atau pemegang amanah individu yang mungkin mempunyai hubungan atau terikat dengan emosi.

(c) Profesional dan berkemampuan

Dengan melantik as-Salihin, anda akan dijamin dengan profesional dan berkemampuan dalam menjalankan keseluruhan pentadbiran pada kos yang berpatutan.

(d) Mempercepatkan proses undang-undang

(i) Dengan Wasiat dan melantik as-Salihin sebagai Wasi, tidak akan berlaku pertelingkahan untuk memilih siapa yang wajar mentadbir harta pusaka, hanya wasi yang dilantik di dalam Wasiat mempunyai hak mentadbir.

(ii) Tidak perlukan jaminan untuk memperolehi probet. as-Salihin sebagai Wasi tidak perlu mencari penjamin ketika memohon probet.

29. Bolehkah saya mengubah kandungan Wasiat saya dan bilakah boleh saya berbuat demikian?

Anda boleh mengubah Wasiat anda pada bila-bila masa yang anda mahu. Islam membenarkan pewasiat membatalkan Wasiatnya ketika masih hidup.

30. Bolehkah saya membuat wakaf di dalam Wasiat saya?

Menurut undang-undang Islam, seseorang boleh membuat wakaf di dalam Wasiatnya tetapi wakaf tersebut tidak boleh dibuat untuk kepentingan waris-warisnya. Wakaf ini hanya boleh berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Sebelum pewasiat mati, dia boleh membatalkan wakafnya tetapi harta yang diwakafkan itu mestilah diberi kepada badan kebajikan yang lain.

31. Berapa banyakkah harta saya boleh diwakafkan melalui Wasiat?

Wakaf di dalam Wasiat hanya terhad kepada 1/3 daripada harta simati. Jika wakaf dibuat di dalam Wasiat melebihi 1/3, harta wakaf yang melebihi itu adalah tidak sah kecuali selepas kematian anda, waris-waris anda bersetuju mengenainya.

32. Menulis Wasiat dengan peguam adalah lebih murah. Kenapa perlu saya menulis Wasiat dengan as-Salihin?

Peguam tidak memberikan perkhidmatan ditempat yang anda kehendaki. Kebanyakkan peguam sibuk menghadiri kes di mahkamah atau mempunyai banyak urusan undang-undang yang perlu disegerakan. Peguam tidak mempunyai kepakaran dalam penulisan Wasiat kerana ia bukanlah sumber pendapatan utama mereka serta jumlah pelanggan mereka yang membuat Wasiat adalah terhad.

Mereka tidak menyediakan perkhidmatan menyimpan Wasiat. Akan tetapi, kami adalah pakar dalam penulisan Wasiat dan kami menyediakan anda perkhidmatan persendirian di tempat yang anda kehendaki/selesa tanpa gangguan samada di rumah atau di pejabat anda. Kami juga mempunyai penasihat undang-undang dan Lembaga Penasihat Syari’ah untuk membantu serta mengawal semua Wasiat.

33. Bukankah saya akan menjimatkan wang jika saya menyimpan Wasiat sendiri?

Benar, anda akan menjimatkan wang jika anda menyimpan sendiri Wasiat anda. Tetapi anda mungkin menghilangkannya, maka sia-sia anda membuat Wasiat jika Wasiat tersebut tidak dapat diperolehi selepas kematian anda.

34. Bayaran Penyimpan Wasiat Profesional adalah sangat mahal malah lebih mahal daripada bayaran peti deposit keselamatan saya.

Peti deposit keselamatan akan dibekukan selepas kematian. Ini akan menyukarkan keluarga anda untuk memperolehi dan mengetahui kandungan Wasiat kerana mereka mungkin tidak mengetahui kedudukan Peti Deposit Keselamatan tersebut (jika mereka mengetahui, mereka tetap memerlukan perintah mahkamah untuk membuka peti tersebut, ini memerlukan kos dan usaha yang banyak).

Akan tetapi, Khidmat Penyimpan Wasiat Profesional kami hanyalah sebanyak RM 0.20 sehari dan Wasiat anda akan menjadi dokumen yang sangat bernilai dan nilai bertambah dengan Bayaran Simpanan Tahunan hanya dengan RM80.00 sahaja.

Apabila Wasiat disimpan di as-Salihin, semua pewasiat akan menerima 3 kad simpanan Wasiat, sebuah Buku Senarai Harta Peribadi, Surat Peringatan Memperbaharui Tahunan dan akan mendapat Insurans Kemalangan Peribadi bernilai RM10,000 percuma dengan sekali bayaran pendaftaran sebanyak RM25.00.

Dengan sedikit bayaran, kami memastikan hasrat anda akan ditunaikan menurut Wasiat anda kerana Wasiat anda bebas daripada kerosakan atau kemusnahan yang tidak disengajakan. Yang lebih penting, ia boleh diubah pada masa yang dikehendaki. Terpulanglah kepada anda untuk membuat keputusan.

35. Adakah perkhidmatan Penyimpan Wasiat Profesional akan menyimpan Wasiat saya dengan baik?

Ya, mereka akan menyimpannya dengan baik. Setelah anda meletakkan Wasiat dalam simpanan as-Salihin, ia akan dikendalikan dengan baik, Nombor rujukan dan kad simpanan Wasiat akan diberi sebagai kawalan untuk mendapatkannya semula.

36. Kenapa saya tidak boleh membayar hanya satu yuran simpanan untuk Wasiat saya dan Wasiat isteri saya?

Setiap individu akan mempunyai nombor penyimpanan. Oleh itu adalah mustahil untuk wasiat dua orang disimpan menggunakan satu nombor rujukan. Bolehkah suami dan isteri mempunyai sepasang kasut yang sama atau mempunyai nombor kad pengenalan yang sama? Ini adalah untuk kami mengawal supaya hanya pewasiat atau wasi yang dilantik selepas kematian pewasiat sahaja yang boleh mendapatkan Wasiat tersebut.

37. Saya mempunyai peti deposit keselamatan/Saya akan menyimpannya sendiri/Saya akan menyimpan Wasiat di rumah

Masalah akan timbul bila seseorang meninggal dunia, semua asetnya termasuk peti deposit keselamatan akan dibekukan walaupun jika dibuat nama bersama.

Jika begitu Wasiat tersebut tidak akan menjadi rahsia dan sulit lagi kerana apabila ia disimpan di dalam peti deposit keselamatan, pemegang akaun bersama akan boleh mendapatkan Wasiat tersebut.

Menyimpan Wasiat di peti deposit keselamatan tidak menjamin Wasiat anda dilindungi daripada kerosakan dan ia boleh mengundang masalah kepada keluarga anda jika mereka mengetahui kandungannya maka ia tidak menjadi sulit lagi. Sebaliknya, kami akan menghantar surat peringatan kepada anda setiap tahun samada anda mahu menulis semula Wasiat anda atau mengemaskini Buku Senarai Harta Peribadi. Dinasihati bahawa sebarang perubahan undang-undang akan memberi kesan kepada Wasiat anda. Menyimpan Wasiat samalah seperti insurans melindungi aset dan benefisiari anda.

Setelah lama menyimpannya, anda mungkin terlupa di mana anda menyimpannya. Contohnya 5 tahun kemudian atau jika berlakunya sesuatu, keluarga anda mungkin akan sukar untuk mengetahui dan mengingati di mana anda menyimpan Wasiat anda.

38. Tidak perlukan penyimpanan seumur hidup?

Saya pasti bahawa anda akan hidup lebih 10 tahun lagi dan setelah dibahagikan RM800.00 dengan 30 tahun, hanya 7 sen sahaja satu hari. Ia tidaklah mahal sangat dan wang yang digunakan untuk membayarnya adalah berbaloi.

Anda boleh mencadangkan Simpanan Premier (PLC) kepada klien anda. Kelebihannya adalah mendapat potongan istimewa jika menulis semula Wasiat serta boleh membayar ansuran istimewa. Statistik kami menunjukkan bahawa 4-5% pelanggan kami menulis semula Wasiat setiap bulan dan PLC memberi mereka potongan seumur hidup dengan satu bayaran yang rendah iaitu hanya RM1,200.

39. Saya tidak mempunyai banyak aset untuk diwasiatkan.

Walaupun sekarang anda tidak mempunyai banyak aset untuk diwasiatkan, menulis Wasiat adalah memenuhi aspek yang penting di dalam Islam iaitu mengikut Sunnah seperti apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

Tambahan pula, beberapa tahun kemudian aset anda akan bertambah dan Wasiat yang kami buat adalah merangkumi aset akan datang tanpa perlu menulis semula Wasiat tersebut jika anda tidak mahu berbuat demikian. Disamping itu jika anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, anda boleh melantik penjaga bagi harta mereka melalui Wasiat.

40. Kawan saya seorang peguam memberitahu saya bahawa dia boleh menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan di pejabatnya. Mengapa saya harus menghabiskan wang untuk menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan as-Salihin?

as-Salihin adalah sebuah Syarikat Pemegang Amanah yang berdaftar di bawah undang-undang dan ia adalah kekal. Semua Wasiat di dalam simpanannya diinsuranskan. Akan tetapi firma undang-undang akan terhenti atau ditutup apabila pemilik tunggal atau semua rakan kongsinya mati. Dalam situasi ini benefisiari anda tidak dijamin akan mendapat semula Wasiat anda tanpa kesusahan. Kenapa perlu mengambil risiko ini?

41. Kerahsiaan Wasiat/Saya tidak percaya kepada Perancang Harta Islam (IEP)

Semua IEP mestilah mematuhi kod etika syarikat dan mereka telah dilatih secara profesional untuk tidak memecahkan maklumat pelanggan kepada pihak ketiga yang mempunyai autoriti. Sama seperti hubungan peguam dan pelanggan dan juga doktor dan pesakit. Yang lebih penting, menulis Wasiat oleh IEP adalah mata pencarian IEP dan sudah pasti as-Salihin tidak mahu menjejaskan mata pencarian mereka.

Orang yang mengetahui tentang kandungan Wasiat anda adalah IEP dan penasihat undang-undang syarikat. Jika maklumat dipecahkan kepada pihak ketiga yang tidak mempunyai autoriti, syarikat akan menamatkan kontrak IEP serta syarikat akan mengiklankan nama dan gambar mereka yang menyatakan bahawa kami tidak lagi berkerjasama dengan IEP tersebut serta anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Lagipun, Wasiat hanya sah selepas anda meninggal dunia. Oleh itu anda boleh menulis semula Wasiat anda.


42. Sebagai ibu, bolehkah saya melantik penjaga bagi harta anak-anak saya?

Dalam Islam, hanya bapa yang mempunyai hak untuk melantik penjaga bagi harta anak-anaknya.


43. Apakah perbezaan di antara Amanah Hayat dan Amanah Wasiat?

Amanah Wasiat ialah amanah yang dibuat di dalam Wasiat dan berkuatkuasa selepas kematian Pewasiat. Amanah yang dibuat di dalam Wasiat adalah tertakhluk kepada peraturan satu-pertiga dan waris tidak boleh mendapat manfaat daripada amanah tersebut tanpa persetujuan daripada waris-waris lain.

Amanah Hayat ialah amanah yang dibuat oleh setlor untuk manfaat benefisiari dan berkuatkuasa serta merta apabila amanah dibuat. Harta di bawah Amanah Hayat tidak dikira sebagai sebahagian daripada harta setlor dan ia tidak akan dibekukan semasa setlor meninggal dunia. Oleh itu, perintah mahkamah untuk mentadbir harta tersebut tidak diperlukan kerana amanah tersebut berkuatkuasa serta merta berdasarkan syarat-syarat dan terma-terma di dalam Surat Ikatan Amanah.

44. Adakah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Akta 1984 mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian?

Cadangan pindaan tersebut antara lainnya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, sebelum membenarkan suami berpoligami, “untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu atas usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan”. Pihak yang terlibat masih perlu membuktikan bahawa aset tersebut telah diperolehi bersama.

Sebaliknya, Deklarasi Harta Sepencarian kami, seperti yang telah diisytiharkan oleh pihak-pihak yang berkaitan, menyatakan bahawa harta tersebut adalah diperolehi bersama semasa perkahwinan. Bukti ini sudah mencukupi dan tidak perlu bukti lain untuk dibawa ke mahkamah. Oleh itu, cadangan pindaan tersebut tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian kami malah ianya patut digalakkan bagi mereka yang belum membuatnya untuk mengambil langkah awal.

45. Adakah wang KWSP dikira sebagai sebahagian daripada harta sepencarian?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-67 pada 22 Februari 2005 telah menetapkan bahawa wang caruman KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka yang perlu diagihkan mengikut hukum faraid.

46. Bolehkan saya membuat pra-hibah simpanan KWSP kepada waris saya?

Tidak boleh. Ini kerana ia belum dikira hak pemilikan penuh anda. Wang EPF yang telah dikeluarkan baru boleh di pra-hibahkan.




Sumber: as-Salihin Trustee Berhad

Untuk nasihat lanjut sila hubungi:
Abd Rahaman Rasid (mansid@yahoo.com)(013-366-1242)
Perancang Harta Islam
as-Salihin Trustee Berhad